Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Sebulan sebelum Ramadhan, seorang anak muda berketurunan Cina tiba-tiba menghampiri suamiku di sebuah surau di kawasan perumahan kami. Dia menghampiri suamiku kerana disangka suamiku seorang mualaf , wajah suamiku seperti seorang Cina. [Ya lah ibunya memang berketurunan Cina]
Dia menceritakan dia baharu sebulan memeluk agama Islam. Ibunya telah meninggal dunia sejak kecil lagi dan dia tinggal dengan ayahnya seorang Along [peminjam wang] di sebuah banglo berdekatan. Datuknya pula seorang paderi Kristian. Dia mempunyai dua orang abang dan kedua-dua abangnya telah memeluk Islam beberapa tahun yang lalu. SubhanaAllah ! Seorang abangnya tinggal di Kelantan dan seorang lagi menuntut di Mesir dalam pengajian Islam.
Dia bercerita lagi yang dia tidak tenang hidup dengan ayahnya Perangai buruk ayahnya yang selalu mabuk dan membawa perempuan ke rumah amat tidak di senanginya. Kadang-kadang dia terdengar teriakn orang meminta tolong. Hidupnya terasa terhimpit walaupun di kelilingi dengan kemewahan. Abang-abangnya masih menghubungi dan merekalah yang berdakwah kepadanya tentang Islam. Namun mereka terlampau takut untuk datang mengambilnya hatta ayahnya seorang samseng kaki pukul yang mempunyai ramai orang suruhan. Oleh itu dia bertekad ke JAWI dan memeluk Islam di sana. Dia begitu yakin hanya Islam dapat menyelamatkannya.
Pada ketika itu dia seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Apabila ayahnya mendapat tahu yang dia telah memeluk agama Islam, ayahnya begitu marah sekali. Ayahnya berusaha untuk menghalang dia dari meneruskan perjalanan sucinya itu. Semasa dia pulang dari kelas, ayahnya telah menghantar beberapa orang suruhannya untuk menangkapnya. Kemudian dia telah dikurung di dalam biliknya. Ayahnya telah merampas kad pengenalan dan telefon bimbitnya supaya dia tidak lari dari rumah. Yuran peperiksaan tahun akhirnya juga tidak dibayar.
Akhirnya dia dapat melepaskan diri semasa ayahnya tiada di rumah dan bersembunyi di surau di kawasan perumahan kami. Dia lari dengan hanya sehelai sepinggang. Disitulah dia bertemu suamiku dan menceritakan segala masalahnya. Dia memilih surau kami kerana ia agak tersembunyi dari pandangan orang ramai. Katanya kalau di masjid berdekatan dia pasti ayahnya menghantar konco2nya yang beragama Islam untuk menangkapnya.
Alhamdulillah dengan pertolongan ahli qariah surau, mereka memberi bantuan pakaian, wang dan keperluan lain dan juga seorang sahabat yang pemurah telah melunaskan yuran peperiksaannya. Akhirnya dia dapat menduduki peperiksaan akhir dan kini bekerja di Johor Bharu.
Kami agak bimbang bagaimana dia dapt menjalani ibadah puasa buat kali pertama. Katanya abangnya yang di Mesir akan pulang ke tanahair kerana menjadi imam jemputan di salah satu masjid di Damansara. Dia akan bertemu abangnya nanti.
Begitulah kisah seorang mualaf muda yang mempunyai semangat yang begitu kental yang sanggup meninggalkan kemewahan dan keluarganya demi Islam. Renungan terutama untuk diri sendiri sanggupkah kita berkorban begitu sekali? Kita yang dilahirkan Islam sendiri tidak mensyukuri nikmat dilahirkan sebagai seorang Islam.
Sesungguhnya nikmat yang paling berharga yang Allah swt anugerahkan kepada kita di dunia ini adalah kita dijadikan sebagai seorang muslim. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan perlindunganNya kepada anak muda ini. Aameen....
No comments:
Post a Comment