Saturday 10 May 2014

CINTA PANDANG PERTAMA ADALAH CINTA KEPADA IBU....

In the name of Allah The Most Merciful, The Most Beneficent.

I tried many times to write about my mom, but somehow it got stuck.

Somehow these stupid tears kept rolling down my cheeks.

So this time I will l just keep on going...no stopping....

Sedari kecil, ibu ku mahu menjadi seorang guru. Mahu mengikut  jejak langkah kakaknya yang merupakan guru pertama di kampung mereka.

Namun kecelakaan melanda apabila tentera Jepun menyerang dan menawan Tanah Melayu. Cita-cita ibuku terus luntur dan terkubur.

Ibuku memang hanya berumur 13 tahun namun pada zaman itu jika telah tamat darjah 6 boleh sahaja memohon masuk ke Maktab Perguruan Melayu. Dia mempunyai kelayakan tapi sayang keadaan kala itu tidak membenarkan.

Ibu terpaksa bekerja di sebuah kilang dan di situlah masa hadapan ibu berubah....

Tiap-tiap hari apabila ibu siap habis bekerja, ketika mahu pulang, seorang askar muda Jepun pasti mengikuti ibu hingga sampai ke rumah. ( Latar belakang ini lah yang memberi inspirasi kepada abangku untuk menulis skrip filem 'Embun' yang telah diarahkan oleh Erma Fatima dan dilakonkan oleh Umie Aida)

Keadaan ini amat membimbangkan ibu dan ayahnya lantaran tahu akan kekejaman tentera Jepun.Ibuku terpaksa berhenti bekerja serta merta. Lantas satu pencarian cemas dimulakan. Pencarian seorang suami untuk ibuku...

Akhirnya pencariann ditemui iaitu bapaku yang ketika itu sudah berumur 25 tahun. Alam remaja ibu tamat ketika ianya baru sahaja bermula. Ibu terpaksa menanggung perit realiti hidup pada usia yang terlalu muda.

12 orang. Itulah kami, anak2 ibu. Malangnya anak sulungnya hanya mampu hidup sehari sahaja. Kata ibu itu antara pengalaman paling sedih, kehilangan anak pertamanya. Malam demi malam ibu akan tidur bertemankan baju anak sulungnya.

Namun Allah Maha Kuasa digantikan dengan 11 orang lagi cahaya mata.

Kejerihan ibu membesarkan kami dalam serba kemiskinan walaupun ketika bapaku masih hidup. Gaji bapa tidak seberapa namun dengan rahmat Allah, ibu dan bapaku dapat memberi makan dan pelajaran kepada kami seadanya.

Ombak besar membadai ibu lagi, kala usianya baru di awal 40-an, bapaku meninggalkan dunia ini buat selamanya. Bayangkan ketika itu kami memang dalam kesempitan sedangkan adikku yang kecil baru berusia setahun.

Ramai yang meminta ibuku menyerah kan aku dan adikku kepada mereka lantaran tidak yakin ibu mampu membesarkan kami dengan sempurna. Namun kasih ibu tiada batasan. Sebelum ini, Ibu pernah dipaksa menyerahkan salah seorang anakknya. Betapa sedih dan perit perasaan itu. Ia tidak akan berlaku lagi. Ibu berjanji pada dirinya akan mengharungi hidup ini namun untuk menyerahkan anaknya, tidak sekali.

Mujur dengan rahmat Allah, kakakku baru memulai pekerjaannya sebagai seorang guru. Bagai menyambung cita2 asal ibuku. Bersama dengan kakakku itu, ibu membesarkan kami sehingga kami menjadi insan2 yang berjaya.

Pada akhir bulan Mac 2014, ibuku telah menghembus nafasnya yang terakhir, ketika aku berada di tempat yang paling suci di dunia di dalam Masjidil Haram.Walaupun tidak berada disisi ketika ibuku sedang nazak, namun aku berasa dia seumpama berada sangat dekat denganku di dalam Masjidil Haram. Moga segala doaku untuk ibuku dimakbulkan Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Aameen...

Aku tidak mungkin dapat melupakan kata-kata akhir ibu pada ku ketika aku meminta izin untuk berangkat ke tanah suci, "Aku sayang sangat kat hang...." dalam loghat Utara kami.

Mak, cek sangat-sangat sayang mak....Moga roh mak dilindungi Allah di alam barzakh dan dimasukkan dalam syurga Firdhaus selama-lamanya. Semoga Allah Yang Maha Kuasa mempertemukan kita di sana mak.

Aameen Ya Rabbal 'Alameen.


(Cinta kepada ibu adalah cinta pandang pertama sebab pabila sahaja kita dilahirkan dan membuka mata, wajah ibu adalah antara pertama kita tatapi. Dan sejak itu kita mencintai ibu kita sehingga keakhirnya...)
                 






  




No comments:

Post a Comment